“Kenapa Takut Hendak Jadi Usahawan?”


" DUNIA USAHAWAN MUDA INI DIGAMBARKAN SEPERTI GAMBAR INI.TERJUN DARI PESAWAT. KITA KELUAR DARI ZON SELESA DAN MENUJU KE ZON YANG TAK PASTI. ADAKAH PAYUNG AKAN TERBUKA..? JIKA TIDAK TERBUKA..? APA TINDAKAN KITA..? PAYUNG KECEMASAN..? ATAU SEKADAR BERSERAH PADA TAKDIR....?ADAKAH KITA DAH PASTIKAN PERANCANGAN YANG RAPI DILAKUKAN SUPAYA PAYUNG TERJUN DALAM KEADAAN BAIK DAN SEDIA BEROPERASI?...BERSEDIAKAH KITA DARI SEGI MENTAL..?JIKA KITA TERHEMPAS..ADA PELUANGKAH KITA UNTUK HIDUP..? JIKA KITA MENDARAT DENGAN SELAMAT...ITULAH NIKMAT KEPUASAN YANG KITA CARI....."
( CORETAN AMIRUL)

 “Kenapa Takut Hendak Jadi Usahawan?”
Ramai orang yang sedang bekerja, bercita-cita hendak menjadi usahawan, hendak ada syarikat sendiri, hendak ada perniagaan sendiri. Termasuklah saya dulu. Ada yang terus membuat plan tindakan dan terus menjalankan perniagaan mereka samaada bermula secara sepenuh masa atau secara sambilan. Dan ada juga yang masih teragak-agak, masih lagi berangan-angan sampai sekarang. Mereka ini hendak jadi usahawan, tapi tidak jadi-jadi juga sampai sekarang. Masih takut!!..
Kenapa ini berlaku? Salah satu faktor yang sering dimomokkan ialah faktor comfort zone atau “zone selesa”. Saya secara peribadi tidak berapa setuju dengan istilah tersebut. Ini akan saya kupas dengan lebih lanjut dalam coretan saya akan datang. Oklah,.. buat masa ini saya guna sahajalah istilah zone selesa ini.
Mereka yang merasakan mereka ini di dalam zon selesa takut untuk melakukan anjakan paradigma. Takut untuk mencuba sesuatu yang baru. Takut untuk menjadi usahawan walaupun selalu berangan-angan hendak ada syarikat sendiri dan hendak ada perniagaan sendiri. Mereka merasakan pendapatan mereka sebagai pekerja sudah selamat, stabil, dapat gaji tetap tiap-tiap bulan. Mereka merasakan jawatan mereka itu sudah memadai. Maka teruslah mereka bekerja, walaupun dalam hati mereka membara hendak bekerja sendiri.
Ada juga yang tahu dan sedar, pendapatan mereka ini tidak cukup. Baru setengah bulan, gaji dah habis. Ada sesetengah tu, baru dapat gaji setelah tolak duit sewa rumah, tolak duit kereta, tolak bil itu - bil ini, tinggallah RM150. Macam mana nak hidup sampai hujung bulan? Nak belanja awek lagi. Tak payah cakaplah pasal nak hantar duit ke kampung. Silap-silap, emak di kampung hantar duit kepada dia balik.
Mereka rasa mereka perlu lakukan sesuatu. Tapi hendak buat apa ya? Berniaga? Boleh untung ke? Nanti takut yang dikendong tak dapat yang dikejar berciciran. Perasaan takut lagi. Takut! Takut! Takut!. Kata tak cukup duit? Kata hendak buat duit tambahan? Jadi, cubalah sekarang. Rancang elok-elok. Belajar. Tanya orang. Cari peluang. Jangan lupa, kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya!. Kalau tidak dicuba macam mana kita tahu hasilnya.  
Boleh untung ke berniaga ni? Ehh.. kalau tak untung takkanlah banyak gerai-gerai di tepi-tepi jalan tu. Kalau tak untung, takkanlah ramai orang Indonesia buka kedai makan, kedai jamu dan jual buah di negara kita ini. Kalau tak untung, takkanlah orang-orang Siam jadi tukang masak di kedai makan Tom Yam tu. Kalau tak untung, takkanlah orang boleh jual jam dan cermin mata hitam berharga RM9.90 di dalam kompleks membeli-belah. Sekarang ni jual selipar pun ada (cuba pergi tengok dalam Kompleks Jusco Seremban 2). Pembelinya??.. Anda juga, yang kata tak cukup duit tadi tu. Kenapa tak anda sendiri yang jadi penjual. Kan dah dapat duit tambahan?
Hah.. ini soalan favorite. Beberapa hari yang lepas pun saya dapat e-mail tentang soalan yang sama. Hendak jadi usahawan apa? Hendak berniaga apa? Ini juga antara faktor yang menyebabkan orang takut hendak jadi usahawan. Kalau tidak tahu memanglah takut. Kena belajarlah. Belajar tidak semestinya kena pergi kursus, bayar ribu-ribu. Pergilah bersembang dengan orang-orang yang sedang menjalankan perniagaan mereka. Belajarlah sikit-sikit dari mereka ini. Kalau hendak lebih cepat lagi, kerja sambilan dengan mereka. Belajar selok-belok perniagaan mereka.
Sebelum itu, kenali diri anda, apa minat anda, apa kelebihan anda. Carilah perniagaan yang bersesuaian dengan anda. Jika minat anda bahagian perkhidmatan dan suka berjumpa pelanggan, anda boleh buka kedai dobi ke, ejen insuran ke dan sebagainya. Jika anda suka berniaga makanan, bukalah kedai makan. Satu perkara penting yang saya ingin tekankan di sini ialah, walau apa pun yang anda lakukan, kecil atau besar, berfikirlah sebagai seorang usahawan. Seorang usahawan yang berjaya ialah usahawan yang berfikir, merancang dan mengaplikasi. Kemudian review segala usaha anda dan fikir bagaimana hendak meningkatkan prestasi anda.
Soalan favorite yang kedua. Mana hendak cari modal ni?  Saya tidak ada duit, macam mana hendak berniaga? Nanti, kalau buat pinjaman, rugi nanti macam mana nak bayar hutang? Takut lagi!.. Baiklah,.. kalau modal kecil berniagalah secara kecil dahulu dan kembangkan perniagaan anda kemudian. Sekali lagi, berfikirlah sebagai seorang usahawan. Janganlah berfikir bagaimana hendak ambil franchise Mc Donald yang menelan belanja lebih daripada RM1 juta. Kalau ada duit tak apalah.
Ada tak perniagaan yang tidak ada modal? Jawapannya tidak ada. Paling tidak sedikit modal mesti perlu ada. Hendak berniaga apa kalau tidak ada modal? Paling tidak perlu sedikit wang untuk buat promosi, duit minyak motor untuk perjalanan, duit minum dan sebagainya. Kalau tidak ada duit langsung, simpanlah sedikit-sedikit dahulu, atau pinjam dengan adik-beradik, jangan pinjam dengan along sudah la.. .

Comments